PROGRAM@PSNZ : Bengkel Hala Tuju Strategik PSNZ 2026 (12-13 Januari 2026).
Bengkel Hala Tuju Strategik Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah (PSNZ) 2026 telah berjaya dilaksanakan pada 12–13 Januari 2026 bertempat di Studio Al-Quran, Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT.
Mengangkat tema “Mengemudi Samudera Ilmu: Sinergi Digital & Kelestarian PSNZ 2026”, bengkel dua hari ini menjadi platform strategik dalam merangka hala tuju, memperkukuh perancangan serta menyelaras agenda pembangunan PSNZ bagi tahun 2026.
Bengkel ini telah dirasmikan oleh YBrs. Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zambri bin Ibrahim, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, yang menekankan kepentingan pemikiran strategik, inovasi serta kelestarian ilmu dalam mendepani cabaran masa hadapan. Beliau turut menegaskan keperluan perpustakaan mengadaptasi teknologi Kecerdasan Pintar (AI) dalam memperkasa perkhidmatan dan pengurusan perpustakaan.
Majlis penutup bengkel telah disempurnakan oleh Tuan Haji Abu Hassan Ghazali, Ketua Pustakawan PSNZ, yang menekankan peranan warga PSNZ sebagai nakhoda dalam mengemudi perjalanan meredah samudera ilmu. Sejajar dengan identiti UMT sebagai universiti berteraskan sains marin, PSNZ perlu terus diperkasa sebagai rujukan utama dunia bagi khazanah ilmu kelautan, khususnya melalui pendigitalan bahan unik berkaitan sumber akuatik dan warisan maritim negara.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang terlibat atas komitmen, idea serta sumbangan berterusan dalam menjayakan bengkel ini.
Semoga perancangan strategik yang dirangka menjadi pemacu kecemerlangan PSNZ bagi tahun 2026 dan tahun-tahun mendatang.